Jumaat, 23 Oktober 2015

Contoh Kerja Kursus Ekonomi STPM 944/4 Semester 2 2014

944/4

KERJA KURSUS

AKAUN PENDAPATAN SEKUNDER (PINDAHAN SEMASA) DAN IMPLIKASINYA TERHADAP IMBANGAN AKAUN SEMASA





ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) serta implikasi perubahan pendapatan sekunder terhadap akaun semasa di Malaysia. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan data sekunder yang boleh diperoleh daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perangkaan Ekonomi, buku-buku rujukan ekonomi dalam pasaran dan sebagainya. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan peratusan dan dipersembahkan dalam bentuk jadual dan graf. Hasil kajian ini mendapati bahawa arah aliran akaun pendapatan sekunder menunjukkan peningkatan sebanyak 8.83% dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Di samping itu, perubahan akaun pendapatan sekunder turut memberikan implikasi kepada imbangan akaun semasa di Malaysia sepanjang tempoh kajian. Hal ini menunjukkan bahawa akaun pendapatan sekunder akan mempengaruhi nilai imbangan akaun semasa akibat pertambahan atau pengurangan nilai akaun pendapatan sekunder.





ISI KANDUNGAN
BIL
BUTIRAN
MUKA SURAT
1.
Tajuk Kajian
i
2.
Abstrak
ii
3.
Isi Kandungan
iii
4.
Penghargaan
1
5
1.0     Latar belakang
2-3

2.0     Pernyataan Masalah
4

3.0     Objektif Kajian
5

4.0     Kaedah Kajian
6-7

5.0     Hasil Kajian dan Perbincangan
8

5.1     mengkaji arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012
8-11

5.2     membincangkan implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) terhadap akaun semasa dari tahun 2005 hingga tahun 2012
12-14

6.0     Cadangan dan langkah untuk memperbaiki akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) di Malaysia
15-16

7.0     Rumusan
17

8.0     Rujukan
18
6.
Lampiran


PENGHARGAAN

 Terlebih dahulu, syukur ke atas hadrat Ilahi kerana atas limpahan kurnia-Nya, kajian ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Ucapan ribuan terima kasih juga dirakamkan kepada guru Ekonomi Pra Universiti 6 Atas Bestari yang telah banyak memberikan bimbingan sepanjang kerja kursus ini dilaksanakan. Ucapan ribuan terima kasih turut diucapkan kepada kedua ibu bapa pengkaji atas segala sokongan moral dan kewangan yang diberikan sepanjang kajian ini dilaksanakan. Semoga usaha ini dapat memberikan sumbangan kepada pertambahan dokumen kajian dalam Ekonomi Malaysia, khususnya pada masa akan datang.



1.0              LATAR BELAKANG
           Imbangan pembayaran amat penting di dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Hal ini demikian kerana ia merupakan suatu penyata kira-kira yang menunjukkan nilai urus niaga dan aliran wang yang dilakukan antara sesebuah negara dengan negara lain dalam suatu tahun tertentu. Secara umumnya, Imbangan Pembayaran terdiri daripada empat jenis akaun iaitu akaun semasa, akaun modal, akaun kewangan, serta kesilapan dan ketinggalan.
            Akaun semasa pula amat penting kerana ia merekodkan urus niaga seperti eksport dan import barang (akaun dagangan/ barangan), eksport dan import perkhidmatan (akaun barangan dan perkhidmatan), akaun pendapatan primer (akaun pendapatan), dan pendapatan sekunder (pindahan semasa). Selain itu, akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) merupakan rekod bayaran pindahan sesebuah negara seperti bayaran pindahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta dalam negara dan juga luar negara. Ia meliputi bayaran yang tidak perlu dibayar semula oleh penerimanya sama ada dalam bentuk wang atau perkhidmatan.
            Akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) terdiri daripada dua jenis pindahan iaitu pindahan kerajaan dan pindahan swasta. Pindahan kerajaan ialah bayaran pindahan daripada kerajaan kepada kerajaan negara lain, manakala pindahan swasta pula ialah bayaran pindahan yang dibuat oleh penduduk sesebuah negara dengan negara lain seperti pekerja asing di sesebuah negara dengan keluarganya di negara asal.  Akaun pendapatan sekunder boleh terdiri daripada nilai positif atau negatif.
            Pada tahun 2013, berlaku perubahan dalam format akaun semasa melalui Manual Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (BPM6) kerana terdapat beberapa perubahan pada nama konsep dalam data Imbangan Pembayaran (BOP). Jabatan Perangkaan Malaysia telah menyusun dan menyiarkan statistik imbangan pembayaran (Balance of Payments, BOP) Malaysia berdasarkan garis panduan dalam Edisi Keenam Manual Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (Sixth Edition of Balance of Payments and International Investment Position Manual, BPM6) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) bermula pada suku pertama tahun 2013.
            Statistik BOP dari tahun 2005 telah dikelaskan semula mengikut format BPM6 untuk memastikan kebolehbandingan data siri masa. Nama konsep akaun pendapatan dan pindahan semasa masing-masing telah diubah kepada akaun pendapatan primer dan akaun pendapatan sekunder.
Oleh itu, secara keseluruhannya kajian ini tertumpu kepada akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) yang terdapat di dalam akaun semasa Malaysia.  Tumpuan utama kajian ini adalah terhadap arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) dari tahun 2005 hingga tahun 2012 serta implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) terhadap akaun semasa di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.


2.0              PERNYATAAN MASALAH
Secara umumnya, kajian ini berfokus kepada akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa). Hal ini demikian kerana nilai akaun pendapatan sekunder boleh mempengaruhi nilai imbangan akaun semasa sama ada meningkat atau menurun. Oleh hal yang demikian, kajian ini dilaksanakan dengan beberapa kepentingan.
Salah satu kepentingan kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti arah aliran akaun pendapatan sekunder di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Hal ini demikian kerana nilai akaun pendapatan sekunder boleh mempengaruhi imbangan akaun semasa sama ada nilainya adalah positif ataupun negatif. Semakin kecil nilai pendapatan sekunder, maka semakin baik imbangan akaun semasa dan ekonomi negara juga semakin bertambah baik. Melalui kajian terhadap arah aliran akaun pendapatan sekunder juga, jumlah aliran wang yang keluar ke luar negara dapat dikesan, dan kemudian menilai semula seberapa banyak aliran wang yang masuk ke dalam negara.
Kajian ini juga dibuat untuk mencari  implikasi yang berlaku akibat perubahan akaun pendapatan sekunder kepada imbangan akaun semasa dan seterusnya memberikan kesan  ke atas imbangan pembayaran keseluruhannya. Kajian ini penting kepada kerajaan secara khusus dalam merancang dan merencanakan pelan pembangunan negara. Melalui dapatan kajian ini nanti, kerajaan boleh mengambil tindakan bagi memperbaiki imbangan akaun semasa dan imbangan pembayaran. Oleh itu, dapat disimpulkan secara ringkasnya bahawa kajian ini sangat penting untuk dilaksanakan.

3.0              OBJEKTIF KAJIAN

Secara amnya, tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Secara khasnya, kajian ini bertujuan untuk:-

i)                    Mengenal pasti arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.

ii)                  Membincangkan implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) terhadap imbangan akaun semasa di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.


4.0              KAEDAH KAJIAN

Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan data sekunder iaitu kaedah pengumpulan data dan teknik penganalisisan data. Kedua-dua kaedah ini digunakan untuk menghubungkaitkan objektif dengan hasil kajian.

4.1)    Data sekunder
Data sekunder untuk hasil kajian ini telah diperoleh daripada internet, laporan agensi kerajaan serta swasta. Data ini kemudiannya dianalisis dalam bentuk jadual, graf bar, dan graf garis untuk menunjukkan nilai data.

4.2)    Penganalisisan data
Kaedah deskriptif dalam bentuk nilai dan graf telah digunakan untuk menganalisis data yang telah dikumpul. Analisis data telah dilakukan selepas memperoleh data sekunder daripada laman web Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia dari tahun 2005 hingga 2012. Data yang diperolehi kemudiannya ditukarkan kepada analisis bentuk angka bagi mencapai tahap analisis yang tepat. Hasil data yang dikehendaki telah dipersembahkan dalam bentuk jadual, graf garis dan graf bar. Kaedah analisis data yang digunakan adalah dengan menggunakan rumusan data siri masa imbangan pembayaran Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.

Nilai peratus perubahan akaun pendapatan sekunder dapat dihitung dengan menggunakan rumus yang berikut;-

 Nilai peratus perubahan=(nilai pendapatan sekunder tahun semasa - nilai pendapatan sekunder tahun sebelum)/(nilai pendapatan sekunder tahun sebelum)×100%

Contoh pengiraan ditunjukkan dalam Jadual 1. Jadual 1 menunjukkan nilai peratus perubahan akaun pendapatan sekunder di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.

Jadual 1: Nilai peratus perubahan akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.

Tahun
Nilai akaun pendapatan sekunder/pindahan Semasa (RM Juta)
Nilai peratus perubahan(%)
2005
-16, 971
-
2006
-16, 739
  -1.37
2007
-16, 035
-4.20
2008
-17, 490
9.07
2009
-19, 587
11.98
2010
-21, 790
 11.25
2011
-21, 061
 -3.35
2012
-18, 469
-12.31

(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia; Bank Negara Malaysia, 2005-2012.)


5.0           HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

5.1              Mengenal pasti arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) dari tahun 2005 hingga tahun 2012

Jadual 2 menunjukkan akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012, manakala Rajah 1 merupakan graf garis yang menunjukkan arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) dalam tempoh tujuh tahun kajian.

Jadual 2: Nilai akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.
Tahun
Pendapatan Sekunder/Pindahan Semasa (RM Juta)
Peratus perubahan (%)
2005
-16, 971
-
2006
-16, 739

(-16,739-(-16,971))/(-16,971) = -1.37
2007
-16, 035
(-16,035-(-16,739))/(-16,739) x 100% = -4.20
2008
-17, 490
(-17,490-(-16,035))/(-16,035) x 100% =9.07
2009
-19, 587
(-19,587-(-17,490))/(-17,490) x 100% =11.98
2010
-21, 790

(-21,790-(-19,587))/(-19,587) x 100% =11.25
2011
-21, 061
(-21,061-(-21,790))/(-21,790) x 100% =-3.35
2012
-18, 469
(-18,469-(-21,061))/(-21,061) x 100% =-12.31
(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia; Bank Negara Malaysia, 2005-2012)


Rajah 1: Arah aliran akaun pendapatan sekunder di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.


(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia; Bank Negara Malaysia, 2005-2012.)

          Secara keseluruhannya, akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) sentiasa mencatatkan nilai defisit walaupun berlaku peningkatan atau penurunan nilai defisit sepanjang tempoh kajian iaitu dari tahun 2005 hingga tahun 2012.
           Jumlah akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa)  pada tahun 2005 adalah RM 16, 971 juta dan meningkat kepada RM 18, 469 juta pada tahun 2012 bersamaan  sebanyak 8.83%. Bagi arah aliran jangka pendek dari tahun 2005 hingga tahun 2006 menunjukkan penurunan daripada RM 16, 971 juta kepada RM 16, 739 juta iaitu berkurang sebanyak 1.37%. Pada tahun 2006 hingga tahun 2007, aliran jangka pendek akaun pendapatan sekunder menunjukkan penurunan sebanyak 4.20% iaitu daripada RM 16, 739 juta kepada RM 16, 035 juta.
           Manakala pada tahun 2008, nilai akaun pendapatan sekunder telah meningkat semula kepada RM 17, 490 juta atau peningkatan sebanyak 9.07%. Nilai akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) pada tahun 2009 terus meningkat sebanyak 11.98% iaitu daripada RM 17, 490 juta pada tahun 2008 kepada RM 19, 587 juta pada tahun 2009.
            Pada tahun 2010, nilai akaun pendapatan sekunder sekali lagi menunjukkan peningkatan kepada RM 21, 790 juta, iaitu sebanyak 11.25%. Seterusnya, nilai akaun pendapatan sekunder bagi tahun 2011 menunjukkan penurunan kepada RM 21, 061 juta bersamaan sebanyak 3.35%. Nilai akaun pendapatan sekunder menunjukkan penurunan yang sangat ketara pada tahun 2012 iaitu kepada RM 18, 469 juta, atau pengurangan sebanyak 12.31% daripada tahun sebelumnya.
           Nilai akaun pendapatan sekunder menjadi negatif sekiranya aliran bayaran keluar melebihi aliran bayaran masuk dan menjadi positif sekiranya aliran penerimaan melebihi aliran bayaran keluar. Namun begitu, akaun pendapatan sekunder Malaysia menunjukkan nilai negatif sepanjang tempoh tahun 2005 hingga tahun 2012. Kajian mendapati bahawa defisit akaun pendapatan sekunder berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
           Salah satu faktor tersebut adalah bilangan pekerja asing yang tidak terkawal di negara ini. Hal ini termasuk bilangan pekerja asing yang masuk secara berdaftar dan juga secara haram. Kemasukan pekerja asing yang ramai terutamanya dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia, dan Filipina menyebabkan aliran keluar wang ke luar negara lebih besar daripada penerimaan masuk ke dalam negara. Pekerja-pekerja asing yang datang dari negara-negara tersebut datang ke Malaysia bagi meningkatkan taraf hidup mereka di samping banyak kekosongan pekerjaan di negara ini seperti dalam bidang pembinaan dan pertanian. Nilai mata wang Malaysia yang lebih besar daripada nilai mata wang negara mereka turut mendorong kemasukan pekerja asing ini ke Malaysia. Apabila ribuan pekerja asing ini bekerja di Malaysia, maka ribuan Ringgit Malaysia akan mengalir ke luar negara ketika mereka mengirim wang upah mereka ke negara asal mereka.
           Selain itu, faktor pindahan kerajaan ke dalam dan luar negara turut menyebabkan nilai akaun pendapatan sekunder semakin meningkat. Banyak pindahan kerajaan telah dibuat ke luar negara sejak beberapa tahun ini untuk membantu negara-negara yang berkenaan. Pindahan kerajaan ke luar negara dibuat untuk membantu rakyat negara lain akibat pelbagai bencana dan musibah yang berlaku di luar negara seperti gempa bumi, taufan, dan juga seperti isu Palestin iaitu kekejaman puak Zionis terhadap rakyat Palestin. Selain itu, pindahan kerajaan turut berlaku dalam negara kerana usaha kerajaan Malaysia yang cuba membantu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membasmi kemiskinan relatif yang berlaku di negara ini. Kerajaan telah membuat banyak pindahan wang untuk memastikan setiap rakyat di negara ini mendapat layanan yang adil terutamanya dari segi ekonomi. Hal ini terbukti apabila hampir dua juta orang rakyat Malaysia layak mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) daripada tujuh juta orang rakyat Malaysia dengan syarat yang membolehkan mereka untuk menerima bantuan tersebut. Selain daripada BR1M, terdapat banyak lagi bantuan kerajaan yang dilaksanakan untuk membantu kehidupan rakyat. Namun begitu, bantuan rakyat seperti BR1M ini tidak mendapat sokongan daripada pakar-pakar ekonomi di Malaysia kerana mereka menganggap ia mampu menjejaskan ekonomi negara dan turut menyebabkan defisit akaun pendapatan sekunder semakin meningkat.
           Kesimpulannya, arah aliran akaun pendapatan sekunder di Malaysia menunjukkan penurunan dan peningkatan yang tidak konsisten dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Hal ini perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak kerajaan kerana nilai akaun pendapatan sekunder akan mempengaruhi nilai imbangan akaun semasa dan seterusnya memberi kesan kepada imbangan pembayaran negara ini. Selain itu, defisit akaun pendapatan sekunder yang berlaku secara berterusan sepanjang tahun kajian membuktikan Malaysia masih tidak mampu untuk memperbaiki defisit pendapatan sekunder sepenuhnya.
           

5.2              Implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) terhadap imbangan akaun semasa.

Rajah 2 di bawah menunjukkan akaun pendapatan sekunder dan imbangan akaun semasa di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012.

Rajah 2: Akaun pendapatan sekunder dan imbangan akaun semasa dari tahun 2005 hingga tahun 2012.
(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia; Bank Negara Malaysia, 2005-2012.)

           Nilai akaun pendapatan sekunder menunjukkan pengurangan dari tahun 2005 iaitu RM 16, 971 juta kepada RM 16, 739 juta pada tahun 2006, namun imbangan akaun semasa menunjukkan keadaan yang sebaliknya kerana ia meningkat daripada RM 78, 367 juta pada tahun 2005 kepada RM 96, 029 juta pada tahun 2006. Pengurangan defisit akaun pendapatan sekunder sebanyak 1.37% telah menyebabkan peningkatan imbangan akaun semasa sebanyak 22.54%. Hal ini mungkin disebabkan oleh peningkatan dalam akaun dagangan dari tahun 2005 iaitu sebanyak RM 130, 152 juta kepada RM 139, 489 juta pada tahun 2006. Peningkatan dalam akaun dagangan ini telah mempengaruhi imbangan akaun semasa kerana ia merupakan salah satu penyumbang terbesar dalam imbangan pembayaran negara.
           Pada tahun 2007, nilai akaun pendapatan sekunder sekali lagi menunjukkan penurunan seperti tahun sebelumnya iaitu menjadi RM 16, 035 juta, manakala nilai imbangan akaun semasa masih menunjukkan peningkatan kepada RM 102, 190 juta iaitu meningkat sebanyak RM 6, 161 juta berbanding pada tahun 2006. Penurunan defisit akaun pendapatan sekunder adalah sebanyak 4.20% diikuti dengan peningkatan imbangan akaun semasa sebanyak 6.42%. Peningkatan dalam akaun barangan dan perkhidmatan ini telah menyebabkan imbangan akaun semasa turut menunjukkan peningkatan pada tahun 2007. Hal ini dapat dilihat melalui pengurangan dalam akaun barangan dan perkhidmatan yang menunjukkan peningkatan daripada RM 130, 062 juta pada tahun 2006 kepada RM 132, 209 juta pada tahun 2007 atau bersamaan sebanyak 1.42%.
           Nilai akaun pendapatan sekunder meningkat menjadi RM 17, 490 juta pada tahun berikutnya, iaitu peningkatan sebanyak RM 1, 455 juta berbanding pada tahun 2007. Imbangan akaun semasa turut meningkat menjadi RM 131, 414 juta pada tahun 2008. Nilai imbangan akaun semasa meningkat sebanyak 28.60% kerana dipengaruhi oleh akaun dagangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM 130, 825 juta pada tahun 2007 kepada RM 170, 380 juta pada tahun 2008 atau bersamaan peningkatan sebanyak 30.24%.  
           Seterusnya, nilai akaun pendapatan sekunder menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2009 iaitu menjadi RM 19, 587 juta berbanding pada tahun 2008. Nilai imbangan akaun semasa pula menunjukkan yang sebaliknya kerana telah berkurang menjadi RM 110, 727 juta daripada RM 131, 414 juta pada tahun sebelumnya atau berkurang sebanyak 15.74%. Pengurangan yang amat ketara dalam imbangan akaun semasa ini adalah disebabkan oleh pengurangan yang besar dalam akaun barangan dan perkhidmatan iaitu daripada RM 171, 936 juta kepada RM 144, 529 juta pada tahun 2009. 
           Nilai akaun pendapatan sekunder pada tahun 2010 telah meningkat menyebabkan nilai akaun pendapatan sekunder pada tahun tersebut menjadi RM 21, 790 juta. Hal ini telah menyebabkan nilai imbangan akaun semasa menunjukkan pengurangan yang sangat ketara iaitu daripada RM 110, 727 juta pada tahun 2009 kepada RM 87, 183 juta atau merosot sebanyak 21.26% pada tahun 2010. Imbangan akaun semasa mengalami pengurangan kerana banyak pindahan kerajaan dilakukan di dalam negara seperti pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M), dan sebagainya untuk meningkatkan dan membantu kehidupan rakyat Malaysia oleh kerajaan Malaysia. Pindahan wang secara percuma yang dilakukan oleh kerajaan telah menyebabkan imbangan akaun semasa Malaysia pada tahun 2010 berkurang, manakala akaun pendapatan sekunder menunjukkan peningkatan defisit.
           Di samping itu, nilai akaun pendapatan sekunder pada tahun 2011 berkurang sedikit menjadi RM 21, 061 juta berbanding tahun 2010. Pengurangan dalam akaun pendapatan sekunder telah menyebabkan berlaku peningkatan dalam imbangan akaun semasa daripada RM 87, 183 juta pada tahun 2010 kepada RM 102, 426 juta pada tahun 2011. Peningkatan dalam imbangan akaun semasa adalah sebanyak 17.48% dalam tempoh tersebut. Peningkatan nilai imbangan akaun semasa adalah dipengaruhi oleh pengurangan defisit akaun pendapatan primer, peningkatan nilai akaun barangan dan perkhidmatan serta akaun dagangan. Akaun pendapatan primer telah menunjukkan pengurangan defisit dari tahun 2010 ke tahun 2011 iaitu sebanyak 17.19% daripada RM 26, 333 juta kepada RM 21, 806 juta, manakala nilai akaun dagangan pula  meningkat sebanyak 10.83% iaitu daripada RM 136, 751 juta kepada RM 156, 565 juta kerana nilai eksport melebihi nilai import negara ini.
           Pada tahun 2012, nilai akaun pendapatan sekunder telah menurun sebanyak RM 2, 592 juta menjadi RM 18, 469 juta. Manakala, nilai imbangan akaun semasa pula telah berkurang menjadi RM 54, 460 juta berbanding pada tahun sebelumnya. Walaupun akaun pendapatan sekunder menurun, namun ia bukanlah penyebab utama yang menyebabkan imbangan akaun semasa turut berkurang pada tahun 2012. Penurunan dalam imbangan akaun semasa turut dipengaruhi oleh tiga akaun lain iaitu akaun dagangan, akaun barangan dan perkhidmatan serta akaun pendapatan primer. Akaun dagangan telah menunjukkan penurunan sebanyak 17.12% iaitu daripada RM 151, 565 juta kepada RM 125, 614 juta, manakala akaun barangan dan perkhidmatan pula merosot sebanyak 23.18% iaitu daripada RM 145, 293 juta kepada RM 111, 611 juta. Peningkatan nilai defisit yang agak ketara dalam akaun pendapatan primer daripada RM 21, 806 juta kepada RM 36, 024 juta iaitu peningkatan defisit sebanyak 65.20% dari tahun 2011 ke tahun 2012 turut menyebabkan kemerosotan dalam imbangan akaun semasa pada tahun tersebut.
           Kesimpulannya, kajian mendapati bahawa perubahan dalam nilai defisit akaun pendapatan sekunder sama ada bertambah atau berkurang telah mempengaruhi nilai imbangan akaun semasa. Walaupun demikian, beberapa akaun lain yang terdapat dalam imbangan akaun semasa seperti akaun dagangan, akaun barangan dan perkhidmatan, serta akaun pendapatan primer turut menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan atau pengurangan dalam imbangan akaun semasa di Malaysia sepanjang tempoh kajian.


6.0          Cadangan dan langkah untuk memperbaiki akaun pendapatan sekunder (pindahan semasa) di Malaysia
            Berdasarkan data arah aliran akaun pendapatan sekunder dan implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder, didapati bahawa berlakunya peningkatan yang tidak konsisten dalam akaun pendapatan sekunder dan imbangan akaun semasa sepanjang tempoh tujuh tahun kajian iaitu dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Beberapa langkah seharusnya dilaksanakan bagi memastikan defisit akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) dapat dikurangkan.
            Salah satu langkah adalah kerajaan juga perlu meningkatkan kepakaran khusus bagi tenaga buruh di Malaysia dalam sektor-sektor pekerjaan yang terdapat di Malaysia. Pelbagai kursus di beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) juga perlu disediakan sebagai salah satu langkah kerajaan untuk mempertingkat kemahiran guna tenaga selain melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Sekiranya rakyat Malaysia berpendidikan dan berkemahiran tinggi, secara tidak langsung negara dapat mengurangkan kemasukan pekerja asing kerana kekosongan peluang pekerjaan telah dapat diatasi dengan acuan sendiri yang lebih baik dan seterusnya mengurangkan pengaliran keluar mata wang negara ke luar negara.
            Selain itu, kempen mengenai peluang pekerjaan juga perlu ditingkatkan di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat mengenai peluang kerja yang ditawarkan mengikut kekosongan dan keupayaan seseorang. Kempen ini pastinya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan siswazah dan penganggur agar mereka dapat menerokai bidang pekerjaan yang disediakan di Malaysia. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama dengan baik untuk memastikan kempen ini berjaya dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

      
7.0              Penutup/ Rumusan Kajian
Berdasarkan daripada hasil kajian yang diperoleh tentang arah aliran akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) dan implikasi perubahan akaun pendapatan sekunder terhadap imbangan akaun semasa di Malaysia dari tahun 2005 hingga tahun 2012, dapat dirumuskan bahawa arah aliran akaun pendapatan sekunder menunjukkan peningkatan dan penurunan defisit yang tidak konsisten ekoran daripada beberapa faktor yang mempengaruhi. Selain itu, pertambahan atau pengurangan defisit akaun pendapatan sekunder akan turut mempengaruhi nilai imbangan akaun semasa sama ada bertambah atau berkurang. Hal ini perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan defisit akaun pendapatan sekunder (pindahan Semasa) dapat diperbaiki untuk memastikan ekonomi negara menjadi lebih baik pada masa hadapan. Hal ini amat penting kerana akaun pendapatan sekunder merupakan salah satu penyumbang untuk menentukan sama ada imbangan akaun semasa mengalami lebihan atau kurangan dan seterusnya turut memberi impak kepada imbangan pembayaran Malaysia (BOP).


8.0              SENARAI RUJUKAN
Laman Web Rasmi Unit Perancang Ekonomi. Stastik Sosio Ekonomi. Laporan Ekonomi               http://www.epu.gov.my (9 Julai 2013)
Mohammad Shukri Seman, Lim Kien Kwok, Safriza Abd. Hamid, 2014. Teks STPM                     Ekonomi (Ekonomi Malaysia). Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Portal Rasmi Kementerian Kewangan Malaysia. Laporan Ekonomi
            http://www.treasury.gov.my (9 Julai 2014)
Sabariah Ali. 2013. Ace Ahead Teks STPM Ekonomi Penggal 2 (Makroekonomi).
            Kuala Lumpur: Penerbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Suhiliah Mohd. Salleh. 2013. Ace Ahead Teks STPM Ekonomi Malaysia Penggal 3.                       Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.


 LAMPIRAN


P/s: Apa-apa sahaja yang maklumat yang boleh dijadikan lampiran. ^_^